Penduduk Bandar Tun Razak, di sini, digemparkan dengan penemuan mayat bayi perempuan oleh jemaah Surau al-Raudhah sekitar jam 6 pagi tadi yang diisi dalam beg di hadapan tangga surau itu.

Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Surau Al-Raudhah, Mahmud Yusof, 60, berkata, selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah sekitar jam 6 terdengar jemaah kanak-kanak bising di belakang mengatakan ada beg berbau busuk.

Beliau terus bangun dan pergi melihat beg yang terletak di hadapan tangga surau itu dan cuba memastikan kandungan dalam beg dengan memegang serta mengangkatnya.

“Saya pegang dan angkat beg tu, rasa berat berat serta benda dalamnya lembik selain ada bau darah. Kemudian saya lihat berhampiran dengan beg itu memang ada kesan darah kat atas lantai.

“Saya rasa tak sedap hati, letak semula dan terus pergi ke Balai Polis Bandar Tun Razak untuk buat laporan berkaitan penemuan beg yang disyaki ada bayi itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang pulang terlebih dahulu ke surau mendapati ramai jemaah sedang berkumpul di surau dan disebabkan rasa ingin tahu yang tinggi, mereka sama-sama membuka beg itu lalu terkejut melihat memang benar ia mayat bayi.

Menurut Mahmud, surau berkenaan yang telah wujud sekitar 30 tahun tidak pernah berlaku kejadian sedemikian dan amat kesal dengan kejadian itu serta menzahirkan rasa kasihan ke atas bayi itu.

“Jemaah memang berasa kesian kerana orang berkenaan tak patut buat macam tu kat bayi tu.

“Jangan biarkan begitu kerana dia (bayi) ni ahli syurga, sebab tak sanggup nak lihat bayi dalam keadaan begitu kami tutup dengan sejadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kes berkenaan sedang dalam proses siasatan.

LEAVE A REPLY