Satu mayat rentung ditemui dalam sebuah kereta dalam satu kejadian di Taman Megah, Kajang petang tadi.

Dalam kejadian pukul 5.25 petang itu, kereta jenis Perodua Kancil tersebut ditemui orang awam dalam keadaan api marak sebelum menghubungi pihak bomba.

Ketua Polis daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, sebaik pihak bomba memadamkan api mereka menemui mayat seorang lelaki pada bahagian pemandu.

Katanya, hasil soal siasat saksi kejadian memberitahu kereta terbabit dipercayai terbakar dari dalam kereta dengan keadaan pintu dan tingkapnya tertutup.

“Lelaki berkenaan (saksi) cuba menyelamatkan mangsa sebaik melihat kejadian ini, namun gagal berikutan api marak dengan cepat.

“Selain itu, hasil siasatan mendapati kereta berkenaan didaftar atas nama seorang lelaki yang beralamat di Taman Murni, Batu 9, Cheras,” katanya dalam satu kenyataan akhbar sebentar tadi.

Menurutnya, pihak polis tidak mengetahui identiti mayat tersebut berikutan rentung sepenuhnya dan mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk dibedah siasat.

LEAVE A REPLY