Sandakan – Seorang lelaki yang juga pelatih pertunjukan burung di Taman Buaya Batu 8 di sini, putus kaki kanan, manakala tangan kanannya parah akibat dibaham seekor buaya, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa yang juga pekerja sambilan taman terbabit dipercayai membawa bangkai ayam ke kolam pertunjukan buaya untuk memberi makanan kepada haiwan itu.

Selepas selesai memberikan makanan, mangsa dipercayai menggosok hidung buaya terbabit sebelum reptilia itu menyambar kaki dan tangannya.

Buaya terbabit hanya melepaskan mangsa selepas seorang lagi pekerja yang melihat kejadian itu menghalau haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Mohd Azhar Hamin, berkata Hospital Duchess of Kent di sini, menerima panggilan pada jam 2 petang berhubung kejadian itu, sebelum menghantar ambulans ke taman berkenaan.

“Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan kritikal kerana putus kaki kanan, manakala tangan kanan hancur.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya di sini, sebentar tadi.

LEAVE A REPLY