Seorang ibu hilang kata-kata dan hanya terduduk di saat menyaksikan detik tragis anak kesayangannya maut di depan mata selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan untuk ke sekolah dalam satu kemalangan jalan raya, di kilometer 7.8 Jalan Paka- AMBS, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi, Mohd Syamil Harun yang juga murid tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Santong dirempuh oleh sebuah kereta Proton Persona sebaik sahaja keluar dari kenderaan jenis Nissan Frontier yang dinaiki untuk melintas jalan.

Selepas rempuhan, mangsa yang tinggal di kampung Santong dan ketika itu berpakaian lengkap unit beruniform pengakap mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibunya, Hairah Abd Rashid, 53 berkata,sebelum melintas anaknya sempat mencium tangan dan menatap lama wajahnya dengan pandangan sayu.

Menurutnya, dia tidak sangka itu adalah renungan terakhir anaknya kerana beberapa saat selepas itu Mohd Syamil sudah tiada.

“Memang dia sudah biasa melintas jalan untuk ke sekolah yang berada di seberang jalan. Biasanya dia lebih berhati-hati dan kami ahli keluarga yang menghantar selalu mengawasinya melihat kenderaan lalu -lalang bagi memastikan dia selamat ketika melintas.

“Selepas tercampak akibat dilanggar, saya hanya mampu melihat tanpa sebarang reaksi dan tidak mendekatinya,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

LEAVE A REPLY