Kau balik sahaja ke rumah lalu yang menyambut kau ialah anak-anak yang sedang bergaduh. Suami kau yang sedang duduk mengadap tv sambil di perutnya ada pinggan kosong yang bersisa jajan kuning.

Lalu kau letakkan beg di tepi pintu dan terus meluru kepada dua-dua anak kau. Pausekan sekejap pergaduhan dan letakkan semua mainan di tangan mereka supaya tidak mencederakan satu sama lain.

“Dah makan?” kau pun bertanya kepada seorang demi seorang anak kau.

Semua menggeleng. Lalu kau terus ke dapur dan memanaskan apa sahaja yang kau sudah beli awal dalam bentuk sejuk beku. De-frost lima minit kemudian masakkan pula 5 minit lagi.

Kau pun hidangkan seorang demi seorang. Lalu mereka duduk tergocoh-gocoh. Kau pun berjalan laju mencapai cawan dan membuka peti ais. Dan tangan kiri kau mengambil sebotol air dan meletakkan di atas meja. Anak-anak kau makan dengan bersungguh-sungguh. Siap sahaja mereka tinggalkan semua dan kau masih di dapur. Mengambil satu pinggan lagi makanan dan kemudian bawa ke suami kau.

Lalu si suami buat-buat terkejut, “Eh yang bila balik?”

Kau pun senyum, dan kata “Makan bang, baru je tadi. Kemain tengok tv sampai tak nampak isteri lalu belakang,”

“Tak makan sekali ke?” suami bertanya.

“Tak apa abang makan dulu, saya susukan si kecil ini sekejap,”

Lalu kau pun mengambil si bayi yang elok bermain sendiri. Kau dukung dia perlahan-lahan dan dia pun senyum kepada kau. Kau pun ambil dia dan tekupkan di dada kau sampai dia kenyang. Abang dan kakaknya sudah pun sibuk bermain bising-bising. Lalu kau pun bangun, bersihkan lampin dan lap badan si kecil ini dengan tisu basah. Salinkan baju dan tidurkannya di katil comel di tingkat atas.

Siap sahaja semua. Suami pun bangun dan letak pinggan di sinki dapur sambil melambai anak-anak yang lain untuk naik tidur. Kau pun kemaskan meja makan dan sinki sampai kau sendiri terlupa nak makan.

Kemudian, kau capai beg yang kau tinggalkan di pintu, bawa naik ke atas. Buka pintu bilik dan lihat suami kau sudah berdengkur. Lalu kau kembali berpaling dan melihat bilik anak-anak bujang jantan kau, oh sudah juga tidur. Anak dara kau pula masih duduk di meja study. Lalu kau masuk dan beri salam. Dicium dahinya dan dia pun peluk kau, ucap selamat malam.

Kau kembali ke bilik, letak barang. Jenguk si kecil dan masuk ke bilik air untuk bersihkan diri. Dapatlah baring seketika untuk berehat walaupun sekejap. Belum dua jam, si kecil sudah merengek mahu menambah susu. Lalu kau bangun dan menyusukan dia lagi sehinggalah jam lima pagi, kau bangun sekali lagi.

Terkecoh-kecoh siapkan sarapan abang, kakak dan adik untuk ke sekolah. Semak buku, semak beg seorang demi seorang. Kemudian berlari menggantungkan baju supaya anak-anak kau tidak terlepas tali tie, tudung kemas dan segala yang perlu dilekatkan sekali bersama pakaian seragam mereka. Semuanya sudah tersedia, kau pastikan semua ke sekolah menaiki bas dan van masing-masing. Barulah kau berlari ke bilik air. Jika suami kau yang masih termenung di dalamnya, maka kau terpaksa guna bilik air anak. Lalu bersiaplah dan menghantar si kecil ke rumah pengasuh dan kau laju menuju ke tempat kerja.

Itulah yang kau ulang untuk beberapa tahun hingga anak-anak kau sudah masuk sekolah menengah, dan akhirnya ke universiti.

Hari ini, selepas 30-40 tahun kau tinggalkan semua itu tanpa pernah merungut sekali pun, kau sedar yang Tuhan menyayangi kau dengan memberi anak-anak yang sama seperti kau. Pandai melayan suami juga pandai menjaga kau dan suami kau. Yang satu masa dulu kaulah perempuan paling selekeh di tempat kerja kerana mengurus itu ini. Perempuan yang bergegas pulang walau kadang-kadang memang lebih lewat dari orang lain.

Yang kau tahu, kau perempuan, yang perlu membantu keluarga kau. Bantu isi rumah dengan pekerjaan kau. Yang mana di dalam rumah juga kau yang perlu bekerja tanpa gaji. Yang kau yakin, semua itu akan dibalas Tuhan suatu hari ini.

Terima kasih wahai semua isteri-isteri yang hebat bekerja di dalam dan luar rumah. Semoga Tuhan sentiasa membalas jasa baik kalian kepada suami dan anak-anak seperti kami dengan bayaran sebaik-baiknya seperti kalian melayan dan menjaga kami dengan sebaik-baiknya. Terima kasih! – Khairul Jakimin Muhammad

LEAVE A REPLY