Lelaki berusia 40 tahun parah ditetak sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang di Lorong Chempa, Raja Uda, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa parah di tangan, badan, kepala dan kaki selepas ditetak sekumpulan lelaki yang datang ke situ menaiki kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, mangsa dan rakannya baru sahaja keluar dari sebuah kedai di situ dan berada di atas motosikal sebelum didatangi suspek.

Katanya, suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi berkenaan datang dari arah belakang dan merempuh motosikal mangsa menyebabkan dia terjatuh.

“Rakan mangsa berjaya melarikan diri namun mangsa gagal selepas terjatuh ekoran rempuhan berkenaan.

“Empat suspek lelaki berparang keluar dari kereta dan menetak mangsa beberapa kali sehingga parah,” katanya.

Menurutnya, empat suspek berkenaan kemudian melarikan diri dibantu seorang lagi suspek yang menunggu di dalam kereta.

Beliau berkata, mangsa parah dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

LEAVE A REPLY