Sekurang-kurangnya 21 mayat rentung sudah ditemui di lokasi pesawat ATR-42 Pakistan International Airlines (PIA) terhempas di kawasan pergunungan wilayah Chitral di utara Paksitan.

“Gerakan menyelamat masih dijalankan dan 21 mayat sudah ditemui,” kata kenyataan tentera yang melakukan operasi mencari itu.

Pihak berkuasa menyatakan tiada kemungkinan ada mangsa yang terselamat dalam nahas itu memandangkan pesawat berkecai dan terbakar dengan serpihan pesawat bertaburan.

Seorang pegawai kerajaan Muhammad Khan berkata, semua mayat ditemui rentung dan tidak dapat dikenal pasti langsung manakala sisa bangkai pesawat bertaburan.

Katanya, saksi mendakwa pesawat itu terbakar ketika terhempas di kawasan pergunungan.

Sementara itu, imej disiarkan di rangkaian televisyen tempatan dan disebarkan di media sosial menunjukkan bangkai kapal terbang yang terbakar di kawasan pergunungan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam berkata, pesawat itu membawa 47 orang, tetapi pegawai PIA di Chitral, Sohail Ahmed berkata, cuma ada 41 orang termasuk empat anak kapal.

Katanya, seorang bekas penyanyi rock Pakistan yang kini ulama terkenal, Junaid Jamshed antara yang menaiki pesawat berkenaan.

Senarai penumpang turut menunjukkan beberapa rakyat asing antara mereka yang menaiki penerbangan berkenaan.

LEAVE A REPLY