KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memerlukan kira-kira RM42.26 bilion untuk membayar kos prinsipal dan faedah pinjaman yang matang antara November 2015 hingga Mei 2039.

Ini berasaskan andaian pelan rasionalisasi dilaksanakan dan tiada pinjaman baru dibuat selepas Oktober 2015, demikian menurut Laporan Pengauditan 1MDB yang baharu dikeluarkan.

Dalam satu ringkasan eksekutif, laporan itu menyatakan bahawa baki prinsipal pinjaman/pembiayaan 1MDB berjumlah RM55 bilion sehingga 31 Oktober 2015 berbanding aset sebanyak RM58.60 bilion, yang mana sejumlah RM20.31 bilion mendapat jaminan dan bantuan Kerajaan Persekutuan.

Menurut laporan tersebut, 1MDB perlu menyediakan dana yang besar untuk melunaskan bayaran komitmennya yang tinggi iaitu sebanyak RM4.88 bilion pada 2016, RM14.74 bilion pada 2023 dan sejumlah RM5.14 bilion pada 2039.

1MDB juga memerlukan dana sekurang-kurangnya RM1.52 bilion setiap tahun daripada November 2015 hingga Mei 2024 untuk membayar balik pinjaman.

Sementara itu, bagi tempoh 2016 hingga 2023, kos pinjaman yang perlu ditanggung oleh Kumpulan 1MDB berjumlah RM9.08 bilion.

Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diterbitkan pada 2009 dijangka matang pada 2039 (30 tahun) dengan kadar bayaran pembiayaan sebanyak RM287.50 juta setahun.

Komitmen Kumpulan 1MDB bagi IMTN daripada November 2015 hingga Mei 2039 berjumlah RM11.90 bilion yang merangkumi RM5 bilion prinsipal dan RM6.90 bilion kos pembiayaan.

Baki pinjaman Kumpulan 1MDB dijangka berjumlah RM28.21 bilion manakala kedudukan aset Kumpulan 1MDB berjumlah RM27.01 bilion.

Sebahagian aset hartanah akan dibangunkan untuk menambah nilainya dan memberi pulangan pada masa depan, kata laporan tersebut – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here