Seramai 13 penumpang maut selepas pesawat pengangkutan tentera Indonesia dinaiki terhempas di timur negara itu.

Memetik laporan AFP, pesawat Hercules C-130 berlepas dari bandar Timika di Papua dengan membawa 12 anak kapal dan seorang penumpang sebelum terhempas di wilayah pergunungan terpencil dekat Wamena ketika dijadualkan hendak mendarat.

Ketua Angkatan Tentera Udara, Agus Suprianta berkata, pemantau di daratan mengesahkan pesawat itu pada jam 6.08 pagi waktu tempatan namun seminit kemudian ia hilang dari rangkaian perhubungan.

“Pesawat tersebut membawa tiga juruterbang, lapan juruteknik, seorang penunjuk arah dan seorang pegawai tentera, selain bekalan makanan dan simen.

“Cuaca di kawasan tersebut memang sukar diramal, dan pesawat itu telah terbang masuk dan keluar daripada kepulan awan sebelum ia terhempas,” katanya.

Kesemua mayat telah ditemui selepas pasukan mencari dan menyelamat berjaya mengesan lokasi nahas berdasarkan petunjuk serpihan pesawat.

Pesawat Hercules C-130 itu dijadual mendarat pada jam 6.13 pagi waktu tempatan.

LEAVE A REPLY