Enam mayat ditemui di perairan Pulau Sebatik, Indonesia pagi Khamis, dipercayai mangsa bot karam di perairan Tinanga dekat Tawau.

Mayat-mayat berkenaan ditemui Badan SAR Nasional (Basarnas) Indonesia yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara jiran itu.

Difahamkan, mayat yang ditemui itu merupakan mayat seorang lelaki dewasa, dua wanita serta tiga kanak-kanak lelaki.

Kesemua mayat akan diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan selanjutnya.

Sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat berhubung penemuan enam mayat terbabit.

Terdahulu, pasukan SAR menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung di perairan Laut Sebatik, Indonesia.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus, lokasi tepat masih belum diketahui.

“Setakat pagi ini, siasatan masih dijalankan bagi mengesan waris mangsa dan keluarga lain yang berada di Tawau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang selasa, bot membawa 15 penumpang termasuk seorang tekong dikatakan terbalik selepas terkena ombak besar mengakibatkan semua mangsa tercampak ke dalam laut.

Susulan kejadian itu, 13 orang termasuk tekong dilaporkan hilang, manakala dua mangsa iaitu pasangan suami isteri terselamat.

LEAVE A REPLY